Saturday, March 7, 2009

KEWAJIPAN RAKYAT DALAM MENENTUKAN PEMERINTAHAN

Sempena Sambutan MaulidurRasul, marilah kita sama-sama mencontohi corak pemerintahan Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda sebagaimana yang digambarkan serba-sedikit di dalam tulisan di bawah..
Rakyat dan pemerintah dua golongan yang tidak dapat dipisahkan dalam suatu masyarakat tanpa rakyat tidak adanya sebuah keraajan , begitu juga tanpa pemerintah rakyat menjadi tidak ketentuan dengan adanya gandingan yang baik diantara keduanya terbentuklah satu masyakat dan negara yang mendapat keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t. sebagaimana firmannya dalam al-quranulkarim بلدط طيبة ورب غفور artinya negeri yang baik (iaitu pemerintah yang baik dan rakyat yang baik) hasil daripada keduanyalah mendapat keredhaan Allah .
Apakah ciri-ciri pemerintah yang baik sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat diatas tadi?
Pertamanya pemerintah tersebut mestilah tunduk dan patuh sepenuhnya di bawah kekuasan yang hakiki yang berlandaskan syariat yang telaah ditetapkan Allah s.w.t. diantara ciri-ciri pemerintah tersebut sebagaimana yang dinyatkan oleh allah s.w.t. dengan firmannya الذين ان ممكناهم فى الارض اقاموا الصلاة وءاتوا الزكاة وامروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عاقبة الامور
maksudnya : iaitulah mereka umat islam yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat dan mereka menyuruh dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kepada Allah dikembalikan setiap urusan (AL-HAJ 41)
Ciri-ciri yang utama dan penting dalam menentukan pemerintah iaitulah pemerintah tersebut mestilah berpaksikan dua sumber utama iaitu al-quran dan hadis serta mengambil kira dua sumbar penting yang menjadi asas pegangan ahli sunnah waaljamaah iaitu ijmak ulama yang muktabar dan qias yang soheh.ciri-ciri lain yang perlu ada bagi seorang pemerintah atau pemimpin itu ialah sifat taqwa kepada Allah s.w.t. Daripadanyalah terpancar sifat-sifat mahmudah seperti jujur amanah dan lain- lain sifat yang manfaatnya adalah kembali kepada rakyat dibawah pemerintahannya sekali gus memakmurkan muka bumi daripada kezaliman dan kerosakan.
Sebaik- baik pemimpin dan tauladan yang perlu diambil contoh ialah kepimpinan junjungan besar kita Rasululah s.a.w. dan khulafa Ar-Rashidin yang tidak ada tolok bandingnya dalam pemerintahan. Sifat telus dan adil dalam menjalankan sesuatu hukuman, tidak adanya unsur mementingkan anak beranak atau sekarang dipangil kroni dapat kita gambarkan melalui sabda baginda
لو كانت الفاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يده
Ertinya, jikalau Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku potong tangannya. Begitu juga tauladan yang boleh kita ambil melalui ucapan Abu Bakar semasa beliau mula–mula diangkat menjadi khalifah dengan katanya: Aku telah diangkat menjadi pemimpin kamu tetapi tidaklah aku ini lebih baik daripada kamu. Orang yang lemah disisi kamu menjadi kuat disisiku kerana haknya akan aku ambil daripada yang kuat untuk kuberi kepada yang lemah dan yang kuat disisi kamu akan lemah disisi ku. Inilah ciri pemimpin yang perlu kita ketengahkan. Yang memahami tuntutan kebajikan kepada rakyat jelatanya agar rakyat dapat merasai bersama kemakmuraan negara dan hasil mahsulnya dinikmati oleh segenap lapisan msyarakat, maka tidaklah akan berlaku yang kaya bertambah kaya membolot dengan rakusnya Manakala yang miskin semakin terhimpit dengan kemiskinan.
Contoh kedua pemimpin tauladan ialah saidina umar al-khatab semasa beliau mula-mula memegang tampuk pemerintahan negara, sedang beliau berucap tiba- tiba bangun seorang lelaki sambil menjulang pedang lelaki itu berteriak wahai Umar, jika engkau tidak menjalankan pemerintahaan dengan adil aku akan perbetulkan kamu dengan pedang aku ini. Saidina Umar membalas dengan tenang sambil katanya, Alhamdulillah masih ada orang yang berani menegakkan kebenaran di zaman Umar.
Pengajaran yang boleh kita ambil daripada saidina Umar itu tadi, adalah sifat keterbukaan beliau dalam menerima kritikan dan memberi hak kepada rakyat untuk bersuara memperbetulkan perjalanan pemerintahan agar ianya selari dengan tuntutan Allah dan Rasul .
Sifat jujur saidina Umar dalam menguruskan harta negara terserlaah pada suatu peristiwa apabila anak beliau datang ke pejabatnya untuk menayakan satu masaalah. Terlebih dahulu beliau bertanya adakah tentang masalah kekeluargaan atau masaalah negara? jika masaalah yang hendak ditanya tidak ada kena mengena dengan masaalah negara, maka tidak teragak-agak saidina Umar memadamkam lampu pejabatnya kerana sifat amanah beliau dalam menguruskan harta negara yang tidak boleh digunakan untuk kegunaan peribadi mahupun keluarga .
Disamping sifat–sifat terpuji seperti yang diterangkan diatas, seorang pemimpin itu juga memerlukan kebolehan dan kelayakan dalam menjalankan tugas beliau sebagai pemimpin kerana pemimpin itu merupakan amanah yang besar perlu ia laksanakan dengan sebaik-baiknya. Sahabat Rasulullah yang bernama abi Zar al-ghifari yang terkenal dengan sifat jujur dan bersederhana dalam hidupnya, namun Rasulullah s.a.w.
berpesan kepadanya agar ia jangan menginginkan diberi jawatan dalam pemerintahaan kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri berkebolehan dalam memimpin. Begitu juga yang berlaku kepada anak saidina Umar, Abdullah bin Umar yang terkenal dengan seorang yang salih beribadat sehinggakan solat beliau mendapat pengiktirafan daripada sahabat serupa sembahyangnya dengan solat Rasulullah, tetapi dibantah keras oleh ayahnya untuk menggantikan khalifah sesudahnya kerana ketidak bolehannya dalam melaksanakan tangung-jawab memimpin .
Dalam sebuah negara demokrasi berparlimen kita sebagai rakyat mempunyai hak untuk memilih pemimpin dan kerajaan dan hak memilih ini diiktiraf oleh agama Islam sebagai satu kewajipan kepada agama dan negara. Hubungan di antara rakyat dan pemimpin bukanlah hanya sekadar hidup di dunia ini sahaja tetapi ianya mempunyai ikatan kelangsungan hingga ke hari akhirat nanti. Jika sekiranya pemimpin yang dinobatkannya itu membawa kepimpinannya ke arah keredaan Allah dunia dan akhirat, wawasan dunia dan wawasan akhirat maka rakyat yang di bawahnya juga ikut serta mendapat keredhaan Allah. Begitu jugalah sebaliknya, jika pemimpin yang dinobat itu membawa kepimpinannya kearah kemungkaran dan kemaksiatan , maka rakyat yang menobatkannya juga akan menerima padah dan seksaan daripada Allah s.w.t. Alqurannulkarim memaparkan kisah pemimpin yang bercakaran di akhirat kelak dengan penyokongnya yang telah mereka guna- gunakan semasa didunia dahulu dengan firmannya :
وقالوا ربنا انا اطعنا سادتنا وكبراءنا فاضلونا السبيلا ربنا ءاتهم ضعفين من العذاب والعنهم لعنا كبير- الاحزابا67-68
Artinya : dan telah mengadu oleh pengikut- pengikut mereka kepada Allah di akhirat kelak sesunguhnya kami telah taat kepada pemimpin-pemimpin kami dan ketua-ketua kami dan mereka telah menyesatkan kami daripada jalan islam yang sebenar. Wahai tuhan kami, gandakanlah azab ke atas mereka dan laknatlah mereka sebesar-besar laknat-surah al-ahzab ayat 67-68.
Dalam ertikata yang lain, hala tuju sesebuah negara bangsa mahupun agama tidak ketinggalan juga kehidupan kita sesudah mati nanti, terletak di atas kuasa setiap individu untuk menentukan kepimpinan masa hadapan lebih-lebih lagi generasi akan datang agar menjadi generasi yang menghayati agama dan mempunyai nilai moral yang tinggi . Janganlah kita mengabaikan kehidupan masa hadapan dengan nilai suapan dan dunia yang sementara. Gunakan fikiran dan neraca syariat dalam menilai kepimpinan. Jauhilah neraca nafsu dan syaitan yang menjanjikan kesenangan sementara dengan penuh tipu daya .
Rasululah memberi pesanannya dengan sabda baginda :
اذا ضيعت الامانة فانتظر الساعة قيل يا رسول الله وما اضاعتها ؟ قال اذا وسد الامر الى غيير اهله فانتظر الساعة – رواه البخارىا
Artinya telah bersabda Rasulullah s.a.w. apabila amanah telah disia-siakan tunggulah kehancurannya. Maka ditanya kepada Rasulullah bagaimana ia disia-siakan bersabda rasulullah, apabila diserahkan pekerjaan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kehancurannya – hadis riwayat bukhari
Ingatlah, setiap pemimpin yang kita nobatkan jika pemerintahannya menyimpang daripada kehendak Allah dan rasul, maka rakyat yang menyokongnya akan bersama-sama mendapat kemurkaan Allah dan ingatlah juga di hari akhirat nanti sebagaimana yang telah digambarkan Allah di dalam Al- Quran apabila seseorang lari dari saudaranya , ibu lari daripada bapanya, dan mereka juga lari daripada isterinya dan anak-anaknya, kekasih akan lari daripada kekasihnya kesemuanya ini berlaku kerana mereka telah melihat dosa-dosa yang mereka lakukan semasa di-dunia dahulu serta balasan yang akan dihadapi dan mereka tidak sangup lagi menanggung dosa orang lain pula .
Adapun pemimpin yang adil yang menunaikan tuntutan syariat Allah, mereka akan bersama orang yang di bawah kepimpinanya menuju keredhaan Allah dan mendapat perlindungan Arash diakhirat kelak sebagaimana yang dinyatakan didalam hadis Rasulullah s.a.w.
Marilah kita bersama-sama melaksanakan tangung-jawab terhadap negara dan agama dengan mengangkat pemimpin yang menjunjung tinggi kitabullah dan sunah rasulnya, pemimpin yang beraklak mulia, jujur dan iklas bekerja untuk Allah dan kerana Allah, pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri dan kaum keluarga sahaja, pemimpin yang memberi kebajikan kepada seluruh masyarakat tanpa mengenal kawan ataupun lawan dan ingatlah kepada formula kebahagiaan abadi yang telah digariskan oleh para alim ulama dan cendikiawan.



No comments:

Post a Comment