Tuesday, August 16, 2011

Keistimewaan Al-Quran

Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama serta mengandungi sunnah Rasulullah..

Firman Allah SWT,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhan:3)

Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya juga adalah satu ibadah..

Daripada Anas r.a, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: "Ibadah umatku yang paling utama ialah membaca al-Quran."

Marilah kita sama-sama hiasi diri dan seluruh keluarga dengan cahaya al-Quran.. Ingatlah, banyak keistimewaan yang kita perolehi dengan membaca, menghayati dan meletakkan al-Quran dalam hati dan jiwa kita.. Dengan mengetahui keistimewaan dan ketinggian al-Quran ini, semoga kecintaan kita terhadap al-Quran akan terus tersemai dan subur ..

KEISTIMEWAAN YANG ADA PADA AL-QURAN

1. Membersihkan Hati

Daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata : Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya hati ini boleh berkarat seperti berkaratnya besi." Para ahabat bertanya, "Apa yang dapat membersihkannya?" Rasulullah menjawab, " Membaca al-Quran."

2. Memuliakan Ahli Al-Quran ( orang yang membacanya)

Al-Quran pada hakikatnya merupakan syiar Allah.

" Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan dari taqwa yang ada di hatinya."
( Surah Al-Haj : 32)

Para Ulamak mewajibkan menghormati ahli al-Quran berdalilkan ayat ini di atas.

Selain itu, Nabi ber
sabda: " Mengagungkan Allah dapat dilakukan melalui tiga cara , MEMULIAKAN PEMIMPIN YANG ADIL, ORANG ISLAM YANG BERUBAN (ORANG TUA) DAN ORANG YANG HAFAZ AL-QURAN SERTA MENGAMALKAN ISI KANDUNGANNYA."

Sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ibn Mas'ud menyebut : "Orang yang seharusnya dipilih untuk menjadi ketua bagi sesuatu kaum adalah orang yang paling banyak membaca kitab Allah. "


3. Al-Quran Pemberi Syafaat


Daripada Jabir r.a, Nabi SAW bersabda : " Al-Quran adalah pemberi syafaat dan pembela orang yang mengakui kebenarannya. Barangsiapa menjadikan al-Quran sebagai pemimpinnya, maka al-Quran akan membawanya ke syurga. Sebaliknya, barangsiapa membelakangkan al-Quran, maka al-Quran akan menyeretnya ke neraka.."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Daripada Abu Umamah, Nabi SAW bersabda : " Bacalah Al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat kelak untuk memberi syafaat kepada orang-orang yang membaca dan mengamalkannya."
(Hadis Riwayat Muslim)

4. Dengan mencintai al-Quran, akan dicintai Allah

Daripada Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda, " Barangsiapa yang mengaku mencintai dan dicintai oleh Allah dan Rasulnya, maka perhatikanlah adakah dia mencintai al-Quran, sekiranya benar, maka dia benar-benar mencintai dan dicintai oleh Allah dan RasulNya." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

5. Kitab yang kekal dan terpelihara

Al-Quran merupakan mukjizat yang kekal. Ia dibaca di mana sahaja dan dipelihara oleh Allah. Mukjizat ini berbeza dengan mukjizat para nabi lain yang tidak lagi berlaku setelah tamat tempoh kenabiannya. Keabadian al-Quran ini teruji sejak ia mula diturunkan hingga ke hari ini, lebih daripada 14 abad.


6.Tidak menjemukan


Sesiapa sahaja yang membacanya tidak akan merasa jemu dan yang mendengarnya juga tidak pernah merasa bosan. Orang yang membacanya berulangkali akan semakin cinta dengan al-Quran.
Disebutkan dalam syair : " " Majlis al-Quran adalah sebaik-baik majlis. Di sana tidak ada rasa bosan terhadap apa yang dikatakan (baca). Bahkan mengulang-ulang kata-katanya akan menambahkan keindahannya."

Sedangkan orang yang mendengar kata-kata selain daripada al-Quran akan berasa bosan lebih-lebih lagi jika berulang-ulang kali.

Walaupun orang yang membacanya tidak memahami maksudnya, tapi oleh sebab keindahan dan kemuliaan al-Quran itu, ia tetap tidak jemu. Apatah lagi sekiranya orang yang membacanya memahami dan menghayati maksudnya akan bertambahlah kecintaan dan penghayatan kepada isi kandungan al-Quran itu..

7. Al-Quran sebagai Penawar

Al-Quran boleh menjadi penawar dan penyembuh bagi penyakit zahir dan batin melalui bacaan ayat-ayat tertentu dan memohon perlindunganNya.

Keistimewaan ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW :
"Al-Quran adalah penawar." (HR al-Qada')

" Sebaik-baik penawar adalah al-Quran." ( HR Ibn Majah)

" Barangsiapa yang tidak menggunakan al-Quran sebagai penawar, maka tidak ada penawar baginya." (HR Ibn Majah dan al-Hakim)

"Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya." ( Al-Isra': 82)


8. Al-Quran mudah dihafaz

Al- Quran mudah dihafaz oleh orang yang sedang mempelajarinya. Keistimewaan ini dijelaskan dalam firman Allah yang diulang-ulang sebanyak empat kali.

"Dan sesungguhnya Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya) ?" (Al-Qamar: 17,22,32,40)



8. Memberi perasaan takut (keinsafan) dan Menghargai Al-Quran


Dengan membaca al-Quran, akan timbul rasa takut, serta keinsafan dan menghargai kehebatan ayat-ayat al-Quran dalam hati orang yang membaca dan mendengarnya. Persaaan ini menusuk jiwa seseorang walaupuan dia tidak memahami maksud dan tafsir ayat-ayat yang didengarinya.

9. Allah memelihara al-Quran

Allah menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang perubahan dan pertukaran pada lafaz-lafaznya. Hanya Allah yang mampu memeliharanya .
Firman Allah : " Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (Al-Hijr : 9)





1 comment:

  1. assalamualaikum, sungguh indah bahasa si penulis, syukur pada allah swt yg memberi nikmat untuk berkata-kata. teruskan perjuangan mu ini.
    compliment from the lowest to the lowest. :)

    ReplyDelete