Tuesday, April 19, 2011

Menikmati Sakit

Sesungguhnya mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan ke atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada seorang hamba.
Namun kenikmatan itu dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit menimpa, maka sekaligus ia telah melenyapkan kebahagiaan.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam Bukhari daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : " Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Namun, bagi orang yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit, ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala. Sebagaimana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a, beliau berkata : " Rasulullah saw bersabda (yang bermaksud) : " Sungguh ajaib keadaan seorang Mukmin. Seluruh keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. Apabila ia ditimpa musibah, ia akan bersabar dan musibah itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."

Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan daripada penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut, ini adalah kerana sakit itu dapat menghapuskan dosa-dosa..

Selain penyakit dapat menghapuskan dosa, ia juga dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperolehi melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaanNya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya nescaya ia akan menerima kemurkaanNya."

Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu tanda kebaikan dan tanda kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasululllah saw bersabda yang bermaksud : " Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah akan percepatkan seksaan di dunia."





Sekadar renungan dan motivasi buat diri ini..
Rujukan Majalah Solusi isu no. 30

3 comments:

  1. Entri yang bagus buat pengubat jiwa ni..ati. Thanx 4 sharing..:)

    ReplyDelete
  2. salam ..

    akak copy n3 nie yer buat tazkirah diri sendiri n anak2 .. tq

    ReplyDelete
  3. Kak - Kita ni mudah lupa dan terleka, sama2lah saling mengingati..

    Ummi - Ambillah yang mana jadi manfaat bersama..

    ReplyDelete