Thursday, April 9, 2009

KEUTAMAAN DALAM ISLAM

Hari ni, Tie tambah satu lagi koleksi tulisan berbentuk ilmiah untuk bacaan bersama yang bertajuk Keutamaan Dalam Islam.

           Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk memberi petunjuk kehidupan dunia dan Akhirat . Al-Quran merupakan mukjizat teragung bagi junjungan besar kira Rasulullah saw berbanding dengan mukjizat yang lain seperti bulan terbelah dua dan keluarnya air daripada jari–jemari Rasulullah saw.
Dr Hamka dalam tafsir Al-Azhar memberi ulasan yang amat baik untuk renungan kita bersama. Katanya, adapun kelebihan mukjizat al-quran berbanding dengan mukjizat nabi sebelumnya, jika nabi musa as dikurniakan dengan tongkat yang boleh bertukar menjadi ular nabi Isa boleh menghidupkan orang mati , nabi Daud dengan kemahirannya dalam membuat baju besi, kesemua mukjizat ini berakhir dengan wafatnya para anbia tersebut, adapun mukjizat alquran kekal hingga ke hari qiamat. Walaupun Rasulullah telah lama wafat, namun kehebatan al-Quran tidak ada tandingnya dalam mentadbir dan mengurus kehidupan manusia sejagat. Ketulinan al-Quran juga terjamin hinggalah ke hari qiamat.
Sedangkan kitab-kitab yang lain seperti taurat dan injil telah hilang ketulinannya apabila dipinda oleh pendita dan rahib mereka untuk kepentingan peribadi .
Firman Allah swt ,
وننزل من القران ما هو شفاى ورحمة للمؤمنين
Dan firmanNya lagi,
كتاب انزلناه اليك لتخرج الناس من الظلمات الى النور باذن ربهم الى صراط العزيز الحميد-ابراهيم
Artinya : Kitab Al-Quran yang kami turunkan kepada engkau untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya dengan izin tuhan mereka kepada jalan yang mulia dan terpuji. (Surah ibrahim ayat1)
Salah satu kehebatan Al-Quran ialah susunan bahasanya yang indah sehinggakan tukang –tukang syair yang hebat pada zaman jahiliah kalah dan merasa kagum dengan keindahan bahasa al-quran. Ayat-ayat dan makna yang terkandung di dalam al-quran terkadangnya Allah menggunakan dengan makna zahir dalam bahasa arab dipanggil ayat muhkamah. Maksudnya sebagaimana arti daripada ayat tersebut begitulah makna yang dikehendaki. Dan terkadang Allah menggunakan kata sindiran yang dipanggil dalam bahasa arab ayat mutasyabihat maksudnya makna ayat tersebut tidak sebagaimana yang dikehendaki tetapi dengan makna yang lain yang sesuai dengan syarak. Allah mengunakan perumpamaan di dalam kitab sucinya agar manusia lebih terasa dan berkesan dilubuk sanubarinya. Adalah suatu yang tidak menghairankan kita, jika sekiranya kita beriman dan mengetahui ketinggian Allah swt yang maha mencipta. Sudah tentu Allah juga mengetahui cara berkesan berinteraksi dengan makhluk ciptaannya yang bernama manusia . Dalam surah al Saf contohnya, Allah swt membuat perumpamaan mereka yang berjaya di dalam kehidupan akhirat seperti mereka yang melakukan aktiviti perniagaan yang berjaya dengan perniagaannya di dunia.
ياايها الذين امنوا هل ادلكم على تجارة تنجييكم من عذاب اليم يؤمنون بالله ورسوله وتجاهدون فى
سبيل الله باموالكم وانفسكم ذاكم خير لكم ان كنتم تعلمون
Ertinya : Wahai segala orang yang beriman adakah mahu aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang dapat melepaskan kamu daripada azab neraka yang pedih . Iaitulah kamu beriman dengan Allah dan rasulnya dan kamu berjuang pada jalan Allah dengan harta kamu dan diri kamu. Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
(surah al-Saf ayat 10-11)

Dalam surah al-Baqarah juga Allah membuat perumpamaan bagi mereka yang menginginkan kehidupan dunia sehingga sanggup menggadai akhirnya seperti satu perniagaan yang amat merugikan.
اولئك الذين اشتروا الضلاة بالهدى فما ربحت تجارتهم وما كانو مهتدين
Artinya : mereka itulah yakni orang- orang kafir yang membeli kesesatan dengan petunjuk maka tidaklah menguntungkan perniagaan mereka dan mereka tidak mendapat petunjuk daripada Allah .(Albaqarah ayat 16)

Daripada kedua-dua ayat di atas menunjukkan betapa indah dan simboliknya perumpamaan al-Qurannulqarim itu. Orang–orang mukmin melakukan perniagaan yang menguntungkan apabila mereka beriman kepada Allah dan rasulnya serta melakukan sumbangan dengan harta dan diri mereka, natijahnya mereka mendapat kelepasan daripada azab siksa neraka. Manakala orang-orang kafir yang engkar, melakukan urusan perniagaan yang merugikan apabila mereka membeli perkara yang amat buruk iaitu kesesatan lantas ditukarnya dengan petunjuk.
      Apabila disebut perniagaan, tidak dapat tidak mesti ada dua pihak iaitu penjual dan pembeli . Tujuan penjual adalah untuk mendapatkan keuntungan daripada perniagaannya yang berupa wang ringgit dan sebagainya . Manakala pembeli mahu mengambil manfaat daripada barang beliannya. Inilah keadaan perniagaan di atas dunia dan jika dikatakan Allah sebagai penjual dan kita manusia sebagai pembeli, sebagaimana ayat di atas tadi tentulah tidak bertepatan dengan kehendak agama kerana Allah maha kaya daripada mengambil manfaat amal kebajikan dan perbuatan baik hambanya dan Allah tidak rugi apa-apa jika manusia melakukan kezaliman dan kejahatan, yang rugi adalah diri manusia itu sendiri .
        Namun demikian, Allah membuat perumpaaan dengan perniagaan agar manusia mudah mengerti sesungguhnya kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi manakala kehidupan dunia adalah kehidupan yang sementara waktu.
Firman Allah s.w.t : ان الله غنى عن العالميي  
Artinya: Sesunguhnya Allah amat kaya daripada berhajat kepada alam ini dan firman Allah swt melalui hadis qudsinya:
يا عبادى لو ان اولكم واخركم وانسكم وجنكم كانوا على اتقى قلب رجل واحد منكم ما زاد ذاك فى
ملكى شيا يا عبادى لو ان اولكم واخركم وانسكم وجنكم كانوا على افجر قلب رجل منكم ما نقص
ذالك من ملكى شيا
Artinya : Wahai hambaku, jika adalah yang mula-mula dan yang terakhir daripada manusia mahupun jin mereka mengerjakan ketaatan kepada ku nescaya tidak bertambah sedikitpun daripada kebesaran kerajaanku .Wahai hambaku jika yang mula–mula dan yang terakhir daripada jin dan manusia mereka melakukan kejahatan di atas muka bumi nescaya tidak mengurangkan sedikitpun daripada kebesaran kerajaanku.

Sebagaimana perlunya perniagaan yang bijak di atas muka bumi Allah ini begitu jugalah perlunya kita bijak dalam melakukaan ibadat dan ketaatan kepada Allah. Bukanlah hanya berdasarkan ibadat yang menjadi adat atau ibadat yang tidak berpandukan panduan ilmu. Kealpaan masyarakat kita dalam menghayati perkara ini kerap berlaku, contohnya dalam ibadat solat apabila menjelangnya bulan Ramadhan, berbondong bondonglah umat islam ke masjid mahupun ke surau untuk melakukan solat tarawikh. Dari kalangan mereka yang tidak pernah menjenguk ke masjid dan surau pun turut sama bertarawikh. Tetapi solat lima waktu sehari semalam kenapa masjid dan surau lengang? dan kenapa solat hari raya penuh sesak tetapi solat lima waktu lain pula halnya?. Sedangkan solat fardu berjemaah adalah lebih besar pahalanya daripada solat tarawikh. Sebahagian ulama mengatakan fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf.
    Begitu juga keutamaan dalam menuntut ilmu, lebih besar daripada melakukan solat sunat dan puasa sunat sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw, barang siapa belajar satu bab daripada ilmu dan mengajarkannya adalah lebih baik daripada dia solat seribu rakaat. Dalam soal mengerjakaan haji dan umrah difardukan kepada yang mampu sekali sahaja seumur hidup namun umat islam tidak terkecuali di negara kita amat gemar bagi yang berada mengerjakan umrah sunat atau haji sunat beberapa kali alangkah baikya jika duit umrah tersebut digunakan untuk kemaslahatan umat islam seperti membantu golongan fakir miskin yang mana anak- anak mereka keciciran dalam pelajaran, para janda dan ibu tunggal yang kesempitan hidup, badan-badan pertubuhan Islam, seperti rumah perlindungan bagi anak gadis yang terlanjur dan banyak lagi contoh yang amat memerlukan sumber kewangan. Rasululah ada bersabda
افضل الناس انفعهم للنلس
Ertinya, sebaik- baik manusia adalah mereka yang banyak memberi kemanfaatan kepada manusia yang lain.

Mengerjakan umrah adalah bentuk ibadat untuk diri kita sendiri tetapi dengan menyalurkan kewangan kepada yang memerlukan faedahnya lebih besar lagi. Terkadang ibadat umrah lebih kepada aktiviti melancong dan membeli belah sahaja .
Untuk kefahaman kita, dalam beragama dan mengetahui manakah yang perlu diutamakan dan manakah ibadat yang perlu dikemudiankan, silalah baca buku karangan Prof. Dr Yusuf al-Qardawi yang bertajuk FIQH KEUTAMAAN. Dengan itu kita lebih mengetahui teknik melakukan perniagaan akhirat yang menguntungkan yang mana ganjarannya adalah syurga Allah yang kekal abadi.

No comments:

Post a Comment