Monday, March 7, 2011

Kesan Meninggalkan Al-Quran Dalam Kehidupan


Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Al-Quran menjadi pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Al-Quran bukan untuk dijadikan hiasan atau bahan simpanan yang memenuhi ruang almari dan rak-rak buku di rumah kita, tetapi Al-Quran perlu dibaca dan diamalkan isi kandungannya. Al-Quran menjadi penyembuh segala penyakit, membawa rahmat dan petunjuk kepada manusia.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran, surah Yunus ayat 57 yang bermaksud: " Wahai umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, serta menjadi hidayah( untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman."

Tanda-tanda kemanisan dan kelazatan iman sebenarnya hanya dapat dirasai oleh hati yang hidup, iaitu hati yang sentiasa digilap dengan nur Al-Quran serta jauh daripada dosa dan maksiat.
Kita hendaklah sentiasa mendengar bacaan Al-Quran samaada melalui radio, kaset, CD , telefon bimbit, mendampingi al-Quran, menghadiri kuliah dan ceramah agama, mengikuti kelas bacaan al-Quran, halaqah ilmu program tadarus dan sebagainya. Dan yang paling penting ialah didiklah anak-anak mengenali, membaca dan menghayati al-Quran ini seawal yang mungkin. Alhamdulillah, kakak Izzah telah khatam al-Quran masa umurnya 7 tahun lebih dan Muiz dalam juzuk 3 sekarang dan InsyaAllah akan khatam masa umurnya 8 tahun nanti.. Keluarga kami juga telah menerapkan al-Quran ini dalam kehidupan seharian dan InsyaAllah akan berkekalan dan makin bertambah penghayatan isi kandungan al-Quran dari masa ke semasa..

Apakah kesannya sekiranya kita meninggalkan al-Quran dalam kehidupan seharian?...

Pertama : Kehidupan menjadi sempit dan susah.
Tanpa menjadikan al-quran sebagai pedoman, kita menjadi orang yang lalai mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 124 : yang bermaksud, "Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta."

Kedua : Terpengaruh dengan hawa nafsu secara melampau. Nafsunya di dorong oleh syaitan yang membawanya kepada kesesatan. Sesungguhnya mereka inilah golongan yang berada di dalam keadaan kesesatan

Ketiga : Dalam hadis Rasulullah SAW, baginda ada menyebut tentang orang yang langsung tidak membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat al-Quran seperti rumah yang kosong tiada berpenghuni..

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang bermaksud: Dari Ibnu Abas telah berkata : Rasulullah SAW telah bersabda, " Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya suatu pun daripada al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong."

Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imamal-Baihaqi yang bermaksud : Daripada Ibnu Umar RA telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, "Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran."

No comments:

Post a Comment