Friday, September 17, 2010

Suka Duka Di Aidilfitri...

Main puzzle ABC sebelum pergi beraya..

main bunga api malam raya
AWASI anak anda ketika bermain mercun dan bunga api !

Sudah seminggu Aidilfitri berlalu.. Tentunya sambutan sungguh meriah dan gembira. Bertemu keluarga dan sanak saudara mengeratkan silaturrahim. Anak-anaklah paling gembira lebih-lebih lagi pada malam raya, main bunga api bersama sepupu-sepupunya dan dapat mengumpul duit raya...
Gembira rasanya, bila dapat melayan tetamu dan sanak-saudara yang datang ke rumah. Tapi sedikit terkilan rasa dihati, selepas gambar-gambar kenangan yang diambil pada Hari Raya telah di padam dengan tak sengaja oleh Muiz, anak yang selalu ingin mencuba sesuatu. Katanya nak tengok gambar je, tapi lain pulak jadinya..habis terpadam semua gambar..

Hari kelima Syawal, Tie dikejutkan dengan khabar yang sedih tentang pemergian anak saudara di dalam kandungan ibunya. Yin telah selamat di operation, tapi Allah lebih menyayangi bayi comel penghuni syurga itu. Wahai adikku Yin dan Wan, tabahkan hati kalian berdua.. Besar ganjarannya buat orang yang sabar. Sesungguhnya anakmu itu menunggu ibu dan ayahnya di syurga dan akan memberi syafaatnya di akhirat kelak. InsyaAllah, dengan ujian kematian ini akan memberi rahmat dan sebagai pengampun dosa.

Walaupun Tie tak sempat ke kubur arwah bak pada pagi Hari Raya pertama tu, tapi rupa-rupanya ditakdirkan Allah kami ke kubur pada hari raya ke 6 untuk menghantar jenazah seorang cucu arwah bak bersama-samanya ke alam kubur... Al-FATIHAH

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:

(Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Abu Hurairah dan Abu Said ra. keduanya berkata : Bersabda Rasulullah saw : Tiada sesuatu yang mengenai seorang mukmin berupa penderitaan atau kelelahan (penat) atau risau hati/fikiran melainkan kesemuanya itu akan menjadi penebus dosa. (Bukhari Muslim)

Abu Hurairah ra berkata : Bersabda Rasulullah saw : Siapa yang dikehendaki oleh Allah untuknya kebaikan, maka diujinya dengan musibah bala.

No comments:

Post a Comment