Sunday, May 3, 2009

GOLONGAN YANG MENOLAK PETUNJUK DAN HIDAYAH ALLAH

Petunjuk ataupun hidayah, kalimah yang kerap kita dengar di dalam al-Quran, manusia amat memerlukan petunjuk ilahi. Dengan cahaya petunjuk kita mendapat bimbingan, kesedaran dan kekuatan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dengan petunjuk Ilahi, kita merasa ringan dan mudah dalam menerima dan melakukan tuntutan dan menjauhkan larangan Allah swt . Manakala mereka yang tidak mendapat Nur petunjuk Ilahi, akan merasa sukar dan amat berat. Dada mereka terasa amat sempit untuk menerima kebenaran dan menolak larangan agama. firman Allah dalam Al-Qurannul karim,

فمن يرد الله ان يهديه يشرح صدره للاسلام ومن يرد ان يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كانما

يصعد فى السما كذالك يجعل الله الرجس على الذين لا يؤمنون-الانعام 125

Ertinya ; barang siapa yang Allah menghendaki memberi petunjuk kepadanya, nescaya Allah melapangkan dadanya untuk menerima Islam . Dan barang siapa yang Allah menghendaki kesesatan nescaya Allah jadikan dadanya sesak lagi sempit , seolahnya dia sedang mendaki kelangit. Begitulah Allah menimpakan siksanya kepada orang tidak beriman . Surah al- an’am 125

Sekalipun pada hakikatnya petunjuk dan kesesatan adalah urusan dan kehendak takdir daripada yang maha esa, namun demikian kita dituntut untuk menyelidiki dan memperhatikan sebab musabab serta mencari jalan penyelesaian mengapakah seseorang itu terkadang begitu berani menentang perkara-perkara agama dan mereka tanpa segan silu serta tidak merasa bersalah, menolak dan memperolok-olokkan syariat yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad saw.

Islam adalah Agama fitrah dan agama keselamatan dan kesejahteraan. Islam menerima perkara yang baik sebagai amalan untuk umatnya dan menolak sebarang bentuk keburukan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan alam keseluruhannya.

Sebab musabab golongan yang menolak petunjuk telah didedahkan oleh Allah di dalam kitab sucinya Al-quran dan hadis nabinya saw diantara faktornya adalah ;-

Pertamanya faktor disebabkan kejahilan dengan ilmu.

Ilmu diumpamakan seperti cahaya. Dengan cahaya kita boleh menuju ke suatu destinasi dengan mudah dan betul. Tanpa ilmu agama khususnya, manusia seperti kapal tidak ada kemudinya terumbang ambing tanpa diketahuinya arah tujuan. Dengan ilmu agama kita mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.

Allah taala memuji golongan berilmu dalam surah almujadalah ayat 11 yang mana ertinya , mereka yang dikurniakan ilmu baginya beberapa darjat.

Rasulullah juga berpesan di dalam hadisnya iaitu , akhir zaman nanti Islam hanya tinggal pada namanya sahaja ataupun disebut juga Islam baka dan al-quran hanya tinggal pada tulisan sahaja .

Faktor kedua manusia menolak petunjuk ialah, Taasub atau fanatik yang membuta tuli, sehinggakan mereka gagal menilai sesuatu perkara berdasarkan fikiran yang waras. Golongan sedemikian dinyatakan Allah dalam Al-quran dengan firmannya yang bermaksud ,

apabila dikatakan bagi mereka hendaklah kamu ikut hukum yang Allah telah turunkan kepada kamu. Mereka menjawab bahkan kami mengikut apa yang ditinggalkan oleh bapa- bapa kami – surah baqarah ayat 170

Golongan sedemikian seperti yang dinyatakan didalam ayat diatas, adalah golongan yang sukar untuk melakukan perubahan dan golongan seperti inilah yang ramai menjadi hamba kepada penaja kesesatan dan kezaliman . Jika dizaman Rasulullah saw dahulu, dipelopori oleh Abu Jahal dan Abu Lahab dan kini, dipimpin oleh mereka yang seumpamanya. Bagi mereka apa yang dilakukan dan pegangan nenek moyang mereka adalah sesuatu yang mesti dipertahankan, sekalipun pegangan mereka bersalahan dengan agama .

faktor ketiga yang menyebabkan manusia lari daripada petunjuk ialah hasutan ataupun kempen terus menerus yang dijalankan oleh penaja kesesatan menyebabkan seseorang semakin jauh dan merasa benci dengan agamanya . Golongan penaja kesesatan akan bekerja siang dan malam dengan mengunakan segala kekuatan yang ada demi melaksankan agenda kesesatan mereka . Golongan sedemikian Allah hikayatkan di dalam al-quran dengan firmannya,

و قال الذين استضعفوا للذين استكبروا بل مكر الليل والنهار اذ تامروننا ان نكفر باالله ونجعل له

اندادا واسروا الندامة لما راوا العذاب – السبا 33

Ertinya : Telah berkata golongan yang lemah bagi golongan yang kuat bahkan tipu daya kamu malam dan siang pada ketika menyeru kamu akan kami agar kami engkar dengan tuhan kami dan kami jadikan sekutu baginya dan golongan tersebut akan merasa sesal tatkala mereka melihat akan azab - Surah Sabak - ayat 33

Hasutan daripada penaja kesesatan ini, terbahagi kepada dua. Iaitu ejen dalaman yang terdiri daripada nafsu dan syaitan yang memainkan peranan dari dalam untuk menyesatkan manusia dan juga ejen luaran yang terdiri daripada manusia yang berperangai seperti syaitan.

Firman Allah swt dalam surah al- An’am ayat 112 yang bermaksud: Demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu seteru daripada syaitan, manusia dan jin yang mana syaitan, manusia dan jin itu membisikkan perkataan yang indah untuk menipu manusia .

Faktor keempat adalah kerana takut yang tidak bertempat . Kita sebagai umat islam hanya kepada Allah sahaja yang patut kita geruni, bukannya makhluk ciptaannya. Jika seseorang takutkan manusia lebih daripada ia takutkan Allah maka manusia tersebut seolahnya bertuhankan manusia bukannya kepada Allah. Manusia sedemikian mudah sekali dipergunakan, diperkotak-katikkan dan diperbodohkan oleh golongan penaja kesesatan ini untuk menjadi sekutu mereka .

فلا تخشو الناس واخشون ولا تشتروا باياتى ثمنا قليلا و من لم يحكم بما انزل الله فاولئك هم الكافرون – المائدة 44

Ertinya : Maka janganlah kamu takutkan manusia . Takutlah aku ( Allah ) dan janganlah kamu menjual akan ayat- ayat aku dengan harga yang sedikit . Dan barang siapa yang tidak berhukum dengan hukuman daripada Allah mereka itulah orang- orang kafir - Al-Maidah 44

Malahan terkadang golongan sedemikian lebih takutkan manusia daripada Allah dan lebih taat kepada manusia berbanding Allah. Ini didedahkan oleh Allah di dalam surah an-Nisa ayat 77 yang bermaksud: Apabila wujudnya satu golongan daripada mereka yang takutkan manusia seperti takutkan Allah atau lebih takut lagi.

Faktor kelima ialah apabila kefakiran menimpa seseorang . Fakir adalah salah satu sebab manusia menjauhkan diri daripada tuhannya. Malahan terkadang, biasa berlaku seseorang menjual agamanya untuk mendapatkan sesuap makanan. Rasulullah pernah berpesan dalam hadisnya yang bermaksud, hampir-hampir kefakiran mengundang kekufuran. Kita biasa dengar mana-mana negara umat Islam yang ditimpa bala bencana atau kemiskinan, para penyebar Agama kristian akan masuk ke dalam masyarakat Islam yang ditimpa bala bencana tersebut, berselindung di bawah bantuan kemanusiaan lalu mereka menjalankan aktiviti mengkristiankan penduduk Islam.

Faktor keenam manusia menolak hidayah Allah ialah, cintakan wang ringgit, pangkat serta nama. Apabila seseorang menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat dan tujuan hidup, mereka akan melakukan apa sahaja, sekalipun melawani hak Allah untuk mencapai cita-cita mereka . Sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al- Baqarah yang berbunyi : merekalah golongan yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat maka tidak akan diringankan azab ke atas mereka al- Baqarah ayat 86

Apabila seseorang dihinggapi penyakit salah satu daripada perkara di atas atau kesemuanya, maka di saat itu pintu petunjuk Ilahi tertutup baginya. ia akan melihat perkara Agama melalui pandangannya yang telah serong dan tergelincir. Disaat itu, bertukarlah perkara yang elok disisi agama menjadi buruk baginya, manakala perkara yang buruk disisi agama, elok baginya .

ختم الله على قلوبهم وعلى سمعهم وعلى ابصا رهم غشاوة ولهم عذاب عظيم

Ertinya, Allah telah mempatri hati- hati mereka dan pendengaran mereka dan diatas penglihatan mereka ada selaput dan bagi mereka itu azab yang besar.

صم بكم عمى فهم لا يعقلون Ertinya, mereka itulah yang tuli , bisu dan buta mereka tidak akan kembali ke jalan yang benar –al-Baqarah ayat 18

Semoga kita semua menjauhi sifat-sifat yang boleh menjauhkan diri kita daripada mendapat petunjuk dan Hidayah Allah….

No comments:

Post a Comment