Wednesday, April 22, 2009

JAUHILAH FITNAH

Lidah adalah salah satu anggota anugerah Ilahi kepada kita, dan lidah juga mendatangkan banyak manfaat jika digunakan ke arah kebaikan seperti membaca al-quran, berzikir, berdakwah, mengajar dan sebagainya iaitu ke arah perkara yang digalakkan oleh syarak. Lidah juga membawa kemudaratan kepada empunyanya jika ia disalah gunakan seumpama mengumpat, mencaci cela, berbohong, sumpah palsu, mencarut, memfitnah dan sebagainya. Pepatah Arab ada mengatakan:
السان صغير الجسم و كبير الجرم
Ertinya, lidah itu kecil kejadiannya tetapi besar dosanya . Dan inilah yang perlu disedari, jika dosa bersabit dengan telinga hanya yang berhubung kait dengan pendengaran sahaja tidak pancaindera lain. Begitu juga dengan dosa disebabkan mata, dan penglihatan ianya berkait dengan apa yang kita lihat sahaja tidak kepada yang lain, tetapi dosa lidah merangkumi apa yang kita dengar dan apa yang kita lihat malahan melalui lidah juga berhimpun seluruh kejahatan yang ada pada tubuh manusia. Maka tidak hairanlah ganjaran yang besar di akhirat nanti bagi hamba-hambanya yang dapat mengawal lidah dan kemaluannya sebagaimana sabda junjungan besar kita Rasulullah saw
عن ابى هريرة ( ر ) قال قال رسول الله (ص ) من وقاه الله شر ما بين نحييه وشرما بين رجليه
دخل الجنة–رواه الترميزى
Ertinya ; daripada Abi Hurairah ra , daripada Rasullulah saw sabdanya, siapa yang dipelihara oleh Allah kejahatan di antara dua dagunya ( lidah ) dan kejahataan di antara dua kakinya pasti dia akan memasuki syurga .

Salah satu kemudharatan besar akibat daripada lidah ialah fitnah, sehingakan Allah swt menyebut bahaya fitnah dua kali di dalam surah yang sama iaitu pada ayat 191 pada surah al-baqarah والفتنة اشد من القتل artinya dan fitnah itu bersangatan dosanya daripada membunuh.
Dan dalam ayat yang ke217 Allah mengulang lagi kalimah fitnah dengan firmannya,
والفتنة اكبر من القتل
Ertinya, bermula fitnah itu terlebih besar dosanya daripada membunuh. Jika berlaku pembunuhan mungkin beberapa diri sahaja yang terkorban tetapi angkara fitnah manusia boleh berperang dan bermusuhan di antara dua negara atau dua golongan yang bermusuhan.
Realiti dunia pada hari ini membuktikan angkara fitnah sesebuah negara musnah dan beratus ribu menjadi korban. Amerika menghalalkan menyerang Iraq dengan hasutan fitnah, kononnya Iraq mempunyai senjata nuklier dan kini giliran Iran pula menjadi mangsa fitnah negara besar tersebut .
Bagi orang-orang beriman fitnah yang melanda merupakan cubaan daripada Allah untuk melayakkan seseorang itu mendapat kedudukan yang tinggi disisinya di akhirat kelak . Firman Allah swt,
احسب الناس ان يتركوا ان يقولوا امنا وهم لا يفتنون
Ertinya, adakah manusia ditinggalkan begitu sahaja, seraya berkata kami telah beriman walhal mereka belum dicuba lagi.

Rasul-rasul tidak terkecuali daripada mangsa fitnah. Nabi Yusuf misalnya, kerana ketampanannya difitnah dengan Zulaikha sehinggakan baginda terpaksa merengkuk di dalam penjara beberapa lama.
قال رب السجن احب الى مما يدعوننى الييه والا تصرف عنى كيدهن اصب اليهن واكن من
الجاهلين-يوسف 33
Yusuf as berkata, wahai tuhanku penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku , dan jika engkau tidak hindarkan tipu daya mereka daripadaku , tentu aku akan cenderung untuk memenuhi keinginan mereka dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh –surah yusuf : 33

Isteri Rasulullah ummahatul mukminin saidatina Aisyah pernah difitnah hampir sahaja ikatan beliau dengan Rasululah sebagai suami isteri musnah tetapi Allah menyelamatkan Rasulnya dan isteri baginda. Ceritanya bermula apabila Aisyah mengikut Rasulullah dalam satu peperangan. Dalam perjalanan pulang, saidatina Aisyah ketinggalan rombongan daripada Rasulullah lalu disedari oleh seorang sahabat baginda yang bernama Safwan yang sememangnya ditugaskan untuk mempastikan tiada barangan tentera Islam yang ketinggalan. Lantas, orang munafik membuat fitnah antara Saidatina Aisyah dengan Safwan melakukan perkara maksiat. Dalam peristiwa ini menjadi pengajaran kepada kita umat islam agar berhati-hati dengan golongan munafikin yang sentiasa mengintai–intai masa yang sesuai untuk mereka melakukan fitnah kepada musuh mereka orang Islam . Umat Islam juga perlu menghadapi arus fitnah yang semakin hari semakin bergelora dengan menanamkan jati diri yang berlandaskan syariat Allah swt. Salah satu formulanya ialah, beramal dengan firman Allah swt:
ياايها الذذين امنوا اذا جاءكم فاسق بنباء فتبينوا ان تصيبوا قوما بجهالة فتصبوا على ما فعلتم
نادمين- الحجرات 49
Ertinya, wahai segala orang yang beriman, apabila datang kepada kamu berita yang dibawa oleh orang fasik maka periksalah sebaik mungkin supaya kamu tidak tersalah. Akibatnya kamu akan menyesal di atas perbuatan kamu itu-Al-Hujurat 49.

Masyarakat kita pula masa kini lebih percaya dan berminat kepada berita-berita sensasi lebih daripada mereka percaya kepada perkhabaran yang ada di dalam Al-Quran dan Sunah Rasulullah saw. Lidah–lidah mereka lebih cepat menghukum berdasarkan berita yang belum pasti daripada mereka menerima hukuman yang diperturunkan oleh Allah swt . Masyarakat kita lebih berselera menghabiskan masa berjam-jam membuat tanggapan dan menghukum seseorang daripada mereka memikirkan hukuman ke atas diri dan keluarga mereka dihadapan Allah nanti.
Memfitnah seseorang adalah dosa yang amat keji di dalam Islam, kesalahan yang lain daripada fitnah seperti mengumpat dan berbohong pada suasana dan keadaan tertentu, diberi kelongaran dalam Islam untuk melakukannya apabila keadaan memerlukan. Firman Allah swt,
لا خير فى كثير من نجواهم الا من امر بصدقة اومعروف او اصلاح بين الناس
Ertinya ; tiada kebaikan dalam berbisik-bisik melainkan mereka yang berbisik-bisik dalam menyuruh bersedekah atau berbuat baik atau mendamaikan di antara manusia – surah Annisa ayat 114

Pengajaran daripada ayat di atas, berbisik-bisik dilarang dalam islam kerana membawa sangka buruk , dan mengumpat sesama islam namun demikian dibenarkan pada tiga keadaan seperti makna ayat diatas.
Membunuh tanpa hak diharamkan dalam islam dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar , tetapi dalam keadaan tertentu seperti perlaksanaan hukum kisas ianya diharuskan syarak dengan syarat-syarat tertentu . Tetapi memfitnah seseorang yang melakukan sesuatu yang dilarang disisi agama adalah dilarang dengan sekeras- kerasnya walaupun yang memfitnah mempunyai alasan untuk melakukannya. Untuk menjaga kemaslahatan umatnya islam membuat kawalan, iaitu sesiapa yang menuduh ( memfitnah ) seseorang dengan berzina atau seumpamanya tanpa membawa datang empat orang saksi akan dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan.
والذين ييرمون المحصنات ثم لم ياتوا باربعة شهداء فاجلدواهم ثمانين جلدة ولا تقبلوا لهم شهادة ابدا
Ertinya ; dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuaan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka selama-lamanya. – surah Annur : 4

Kita bermohon kepada Allah dijauhkan fitnah atau terlibat dengan fitnah. Dan sebesar- besar fitnah adalah fitnah yang mengancam aqidah kita umat islam seperti gejala murtad . Zaman yang kita berada sekarang adalah zaman yang dinyatakan oleh Rasululah sebagi zaman yang dipenuhi oleh fitnah diumpamakan seperti malam yang gelap gelita . Kita juga dibekalkan oleh Rasulullalah sebingkisan doa yang sangat elok dibaca pada penghujung tahiyyat akhir agar dijauhkan daripada kejahatan fitnah.
اللهم انى اعوذ بك من عذاب جهنم ومن عذاب القبر ومن فتنة المحيا والممات ومن شر فتنة المسييح الدجال- رواه مسلم
Ertinya : Ya Allah aku bermohon daripada mu daripada azab siksa neraka dan daripada azab kubur dan daripada fitnah kehidupan dan sesudah mati dan daripada kejahatan fitnah dajal.

No comments:

Post a Comment